Pelajar Maahad Tahfiz Dijemput Ilahi Selepas Khatam Al-Quran


Tasek Gelugor: Pelajar perempuan sebuah maahad tahfiz di Sungai Dua yang baharu selesai khatam al-Quran maut selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Guar Petai, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 8 pagi itu, mangsa berusia 17 tahun menaiki kenderaan jenis pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza bersama guru serta tiga rakannya yang lain.
Bagaimanapun ketika tiba di lokasi kejadian, kereta itu dilaporkan terbabas hingga melanggar sebatang pokok yang berada di tepi jalan di arah bertentangan.

Ekoran itu, mangsa yang berada di tempat duduk penumpang hadapan maut di lokasi kejadian manakala guru serta rakannya yang lain mengalami kecederaan.


Mayat dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk proses bedah siasat manakala empat yang cedera dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan lanjut

Berita kemalangan itu kemudian tular di media sosial dengan orang ramai meluahkan rasa sedih termasuk ada beberapa individu dipercayai kenalan mangsa memaklumkan bahawa mangsa baharu selesai menghabiskan semua juzuk bacaan al-Quran hari ini.

Difahamkan, mangsa adalah seorang anak seorang mudir di sebuah madrasah di Padang Serai, Kedah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, siasatan mendapati kenderaan itu dalam perjalanan dari arah Guar Petai menuju ke Sungai Dua.

“Siasatan lanjut masih lagi diteruskan,” katanya
LihatTutupKomentar