KULIM – Tiada kata dapat menggambarkan kesedihan seorang suami apabila melihat sekujur tubuh isteri yang dicintai terbaring kaku di tengah jalan.
Itu yang terjadi apabila seorang ibu muda yang baru tujuh bulan melahirkan bayinya, maut digilis lori dalam satu kemalangan pada jam 1.30 petang Rabu, di Kulim, Kedah.
Suami mangsa yang dipercayai secara kebetulan melalui tempat kejadian, terus meluru ke arah jasad isterinya itu lalu memeluknya sambil menangis.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Azhar Hashim, mangsa yang dikenal pasti sebagai Nur Almass Zasmi, 23, sedang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dari arah Serdang ke Sungai Ular, manakala sebuah treler datang dari arah bertentangan.
Katanya, di lokasi kejadian itu, motosikal yang ditunggangi mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan terjatuh di atas jalan sebelum sebuah lori treler menggilis mangsa dengan tayar belakang.
Tambah Azhar, mangsa yang cedera parah di kepala maut ditempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat.
Mangsa yang bekerja sebagai operator kilang di Kulim, merupakan orang kurang upaya (OKU) bisu telah melangsungkan perkahwinan dengan pasangan yang juga OKU bisu pada 8 Disember 2018 dan dikurniakan seorang bayi perempuan yang kini berusia 7 bulan.