Empat Maut, Dua Parah Dalam Nahas Di Kuala Nerus



Kuala Nerus: Empat maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk sebuah bas ekspres dalam kejadian di Kampung Sungai Ikan Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, jam 6.22 petang tadi.

Mangsa yang disahkan maut adalah Syed Mohd Shukri Tuan Yahya, 36; Muhammad Saufi Jusoh, 34; Mohd Shahlan, 37, manakala identiti seorang lagi mangsa belum dikenal pasti.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Azmi Omar berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah van, dua kereta iaitu Proton Wira dan Proton Persona serta sebuah bas ekspress.

Menurutnya, mangsa yang maut adalah penumpang dan pemandu sebuah van yang dipercayai pekerja sebuah syarikat kimpalan berdasarkan tong gas yang terdapat dalam kenderaan terbabit.

Katanya, dua mangsa yang parah dalam insiden itu adalah pemandu dan penumpang Proton Wira, Muhammad Fazil Husin, 33, dan Nursilawati Said @ Nawang, 42.

“13 penumpang termasuk dua pemandu bas ekspres dan pemandu Proton Persona, Chew Cheong Keng, 55, tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Sebaik menerima panggilan, seramai 18 anggota termasuk tujuh dari BBP Kuala Terengganu dikejarkan ke lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejsdian.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila van jenis Daihatsu yang dalam perjalanan menghala ke Kuala Terengganu dikatakan gagal memotong sebuah kenderaan sebelum melanggar Proton Persona yang datang dari arah bertentangan.

“Van terbabit kemudian melanggar bas ekspres yang dalam perjalanan menghala ke Kota Bharu menyebabkan kenderaan terbabit remuk,” katanya.

Katanya, Proton Wira dinaiki Muhammad Fazil dan Nursilawati yang berada di belakang van terbabit kemudian melanggar Proton Persona yang berpusing selepas dirempuh van berkenaan.

Tambahnya, pihaknya mengambil masa hampir satu jam untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit dalam van berkenaan dengan mangsa terakhir dikeluarkan jam 7.14 malam.

Semua mangsa yang maut dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Sumber: wowberita.my

LihatTutupKomentar