Berkat kesabaran selepas tujuh tahun menunggu, akhirnya Allah kurniakan sepasang cahaya mata sekaligus buat pasangan Mohd Zulmadi Sedek dan isterinya, 34, Norihan Dir, 34.
Menerusi laporan Metro, biarpun si isteri pernah memberi keizinan untuk berkahwin lagi, namun Mohd Zulmadi memilih untuk setia dengan isterinya.
Pasangan yang menetap di Kampung Tepoh, Kuala Terengganu, dikurniakan anak kembar tahun lalu, selepas tujuh tahun menunggu.
Kisah mereka tular selepas Norihan berkongsi video menceritakan kesetiaan suaminya di TikTok baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Mohd Zulmadi mengakui isterinya pernah mengesyorkannya berkahwin lagi kerana dia terlalu lama inginkan cahaya mata.
“Saya Tak Ambil Serius Kata-Kata Isteri Itu Dan Buat Tak Endah Saja. Nak Kahwin Bukan Senang Kerana Kena Jaga Anak Orang Dan Belum Tentu Dapat Zuriat Jika Berkahwin Lagi.
“Lagipun, saya sudah berjanji dengan diri sendiri walau apa yang berlaku tetap akan bersama isteri. Cuma biasalah, ada kawan terdekat usik dengan syorkan saya berkahwin lagi,” katanya.
Tak putus asa berusaha
Menurut Mohd Zulmadi, dia tidak pernah mengira wang belanja dikeluarkan sepanjang tujuh tahun berikhtiar untuk mendapatkan zuriat.
Apa yang pasti, Mohd Zulmadi sudah lakukan pelbagai cara daripada rawatan tradisional hingga moden termasuklah rawatan kesuburan inseminasi intrauterin (IUI) dan persenyawaan in vitro (IVF).
“Kami sudah pergi merata tempat untuk berikhtiar menjalani rawatan termasuk bertemu dengan ustaz iaitu pengamal perubatan Islam di Kuala Lumpur dan Melaka.
“Tiga ke empat kali juga ke sana namun tiada rezeki juga dapat anak sehingga berhasil selepas menjalani IVF.
“Jujurnya, saya tidak tertekan kerana sentiasa ingat dan percaya rezeki daripada Allah. Kalau tak reda macam tak terima takdir jadi sabar saja dan syukur apabila Allah akhirnya makbulkan doa kami dengan beri anak kembar sekali gus,” katanya.
Soal rezeki ketentuan Allah
Sementara itu, Norihan berkata, dia syorkan suaminya berkahwin lagi sebelum ini kerana enggan pentingkan diri memandangkan masalah kesuburan berpunca daripadanya
Dia juga tidak nampak harapan untuk mereka menimang zuriat sendiri memandangkan pelbagai ikhtiar sudah dilakukan tetapi tidak berhasil.
“Saya tawarkan suami berkahwin lagi kira-kira dua tahun lalu dan ia (cadangan berkahwin lagi) tidak diketahui sesiapa melainkan kami.
“Ikutkan tak mahu tapi saya sedih sebab tahu dia (suami) nak anak memandangkan kami sama-sama berjuang dan dia pun positif dengan ikut saja ke mana saya pergi (menjalani rawatan).
“Suami senyap selepas dengar cadangan saya itu sebelum bersuara dengan mengatakan jika kahwin dua tidak dapat anak takkan nak kahwin lagi untuk kali ketiga dan berikutnya.
“Dia juga ingatkan saya soal anak rezeki daripada Allah jadi kena reda. Alhamdulillah, selain keluarga, ibu mentua banyak beri sokongan walaupun tiga kali gagal rawatan IUI pada 2017 dan hanya berjaya dapat zuriat selepas kali ketiga menjalani IVF,” katanya yang bakal menyambut ulang tahun pertama anak kembarnya, Noah Mateen dan Nuha Medina pada Ahad ini.
Mengenai perkongsiannya di TikTok, Norihan berkata, niatnya sekadar untuk memberi semangat buat pejuang garis dua yang lain supaya terus berusaha dan jangan pernah berputus asa untuk mendapatkan zuriat.
“Saya pernah tiga kali menjalani pembedahan membuang ketumbuhan cyst dan tiub fallopio tersumbat hingga doktor kata payah untuk hamil normal.
“Apabila reda, akhirnya dapat juga (zuriat) jadi jangan putus semangat dan saya berterima kasih kepada semua yang mendoakan saya selepas kisah dikongsikan tular dan semoga yang baik juga untuk anda semua,” katanya.
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook
Sumber : HM, Pa&Ma