Kahwin ala kadar kos kurang 10K, pinjam cincin mak mentua masa merisik… pengantin nak jadi trendsetter ‘majlis bajet’!
Kahwin ala kadar kos kurang 10K, pinjam cincin mak mentua masa merisik… pengantin nak jadi trendsetter ‘majlis bajet’!
MAJLIS perkahwinan merupakan peluang yang ditunggu-tunggu setiap pasangan bercinta untuk menjadi raja sehari.
Wang puluhan ribu ringgit sering kali dibelanjakan untuk meraikan hari yang hanya datang sekali seumur hidup ini.
Melawan normalisasi masyarakat yang mengidamkan kemegahan dalam resepsi perkahwinan mereka, Nadiatul Akmal, 29, memilih untuk bersederhana ketika menyambut hari istimewanya.
Nadiatul merasakan cukup untuk melakukan perkara wajib sahaja dalam majlisnya kerana berpendapat dalam hal ini setiap pasangan mesti melihat kepada kemampuan diri sendiri.
Nadiatul yang bekerja sebagai jurutera perisisan selamat diijabkabulkan bersama suaminya di Muar, Johor pada Mei tahun ini.
“Yang paling penting adalah bernikah. Nak lalui proses nikah dan approve semua benda pun dah stressful, jadi memadai bagi saya majlis yang kecil. Mudahkan apa yang boleh dimudahkan.
“Perkara yang saya tekankan dalam majlis saya cuma baju dan gambar sebab itulah memori yang kita akan simpan sampai kita tua, yang lain itu cuma tambahan, kalau ada okay, kalau tak ada pun tak apa.
“Ayah saya juga memang jenis yang tak kisah tentang majlis kahwin. Pasal hantaran sekali pun, dia cuma cakap ikut berapa yang lelaki itu mampu bagi. Dia pun ada suarakan dekat saya yang kalau boleh dia nak kenduri doa selamat sahaja,” katanya ketika dihubungi mStar.
Keluarga suami Nadiatul juga menyambut baik cadangan yang dikemukakan dan berkongsi buah fikiran yang sama untuk majlis perkahwinan anak mereka.
“Dari awal keluarga suami memang nak yang simple sahaja, asalkan objektif nak buat majlis kahwin ini tercapai iaitu bagi orang tahu yang anak saya ini dah kahwin.
Majlis perkahwinan Nadiatul dan suaminya.
“Saudara-mara pun tak ada yang masuk campur, macam tanya kenapa buat kecil sangat atau bandingkan dengan majlis kahwin orang lain. Alhamdulillah untuk kami semuanya berjalan dengan lancar,” tambah Nadiatul.
Nadiatul seterusnya berkongsi jumlah perbelanjaan yang dilaburkan untuk majlis perkahwinannya dan apa yang memeranjatkan adalah ia tidak mencecah lima angka.
“Kalau nak buat benda baik InsyaAllah akan dipermudahkan. Seminggu sebelum saya kahwin, sepupu saya kahwin dan dia ada goodies bag lebih. Jadi dia bagi saya pakai untuk majlis saya. Dah jimat banyak dekat situ.
Apa-pun terpulang kepada diri sendiri. Kalau kita rasa kita mampu, kita buat.
Nadiatul Akmal
“Untuk makeup pula ada seorang kakak ini nama dia Kak Ain, dia offer untuk sponsor makeup saya. Untuk makan pula, kami memang jemput kenalan yang rapat sahaja. 200 orang, 50 saya, 50 suami, 100 untuk parents kami.
“Hantaran kami buat benda yang boleh dipakai. Macam hantaran untuk pihak lelaki adalah baju dan kasut kahwin. Jurugambar saya ambil kawan lama saya dan dia offer harga kawan-kawan.
“Kami cuba potong kos dekat mana-mana bahagian yang kami boleh. Saya boleh katakan anggaran kasar jumlah perbelanjaan untuk majlis kahwin saya ini kurang dari RM10,000,” ujarnya.
Majlis secara kecil-kecilan.
Mengulas mengenai cincin kahwin yang dikatakan dipinjam daripada mak mentua, cincin tersebut sebenarnya digunakan untuk simbolik penyarungan cincin ketika keluarga lelaki datang merisik.
“Saya dah ada cincin nikah sendiri yang suami belikan. Walaupun mak mentua saya ada tawarkan untuk bagi dekat saya terus cincin itu, tetapi saya tolak.
“Cincin yang mak mentua saya bagi itu cuma digunakan ketika merisik untuk tujuan simbolik nak beritahu yang kami dah ada ikatan,” terangnya.
Kedua-dua belah pihak sekufu dalam menentukan majlis perkahwinan yang dikehendaki.
Nadia juga memberitahu tujuan dia membuat video TikTok menceritakan tentang hari bahagianya supaya dapat menjadi trendsetter untuk orang lain tidak berasa kekok dalam mengadakan majlis perkahwinan yang bersederhana.
“Apa pun terpulang kepada diri sendiri. Kalau kita rasa kita mampu, kita buat.
“Asalkan benda itu tak membebankan diri kita dan pasangan kita kerana nanti kita juga yang akan menanggung semuanya,” katanya menutup bicara.
Sumber : mstar