Ibu Berjiwa Kental “Memang Iron Lady Ni” Pilih Kerja Berisiko ,Ramai Kagum Dengan Maya ‘Tawan’ Puncak KLCC
Iron Lady Malaysia
KEBERANIAN wanita bernama Maya Sidek menawan puncak Menara Berkembar Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Kuala Lumpur memang tular habis!
Aksinya yang dirakam oleh jurufoto yang dikenali sebagai Siva Kumar mengundang kekaguman warga maya.
Tampil berhijab, beliau yang digelar Iron Lady memanjat puncak mercu dengan ketinggian 88 tingkat bagi tujuan menukar lampu dan lengkap memakai alat keselamatan.
Cukup bersahaja dan sempat melemparkan senyuman tatkala wajahnya dirakam, pun begitu, Maya tetap berhati-hati dalam memastikan keselamatan diri tidak diabaikan sepanjang melaksanakan tugas sebagai Juruteknik Akses Tali (Rope Access).
Pemilik nama sebenar, Normalia Sidek dalam temu bual bersama SinarPlus mengakui, beliau terperanjat besar apabila mengetahui dirinya viral dalam media sosial.
“Memang terkejut dan tidak sangka akan viral sedemikian. Balik daripada kerja, barulah saya tahu tentang hal tersebut kerana ramai yang menghantar pesanan ringkas.
.
“Sementelah, video berkenaan bukan daripada saya. Pun begitu, saya gembira dan terharu dengan sokongan orang ramai,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai kerja beliau yang cukup berisiko itu, akui empunya diri, segalanya bermula semasa beliau aktif dengan aktiviti lasak iaitu mendaki tebing.
Maya kemudiannya mencuba dengan mengambil kursus kemahiran untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan pekerjaan mencabar itu.
“Siapa sangka, daripada hobi akhirnya menjadi kerjaya utama kini. Sebelum itu, saya terbabit dalam bahagian butik fesyen. Setelah itu, saya beralih menjadi Juruteknik Akses Tali sebelum bertukar kepada portfolio Non-Destructive Testing (NDT) Technician,” kongsinya yang memulakan kerjaya penuh berliku itu sejak tahun 2018 sehingga sekarang.
Bercita-cita ingin menakluk puncak menara Burj Khalifa di Dubai suatu hari nanti, akui Maya, selain sukakan cabaran daripada segi mental dan fizikal, gaji yang ditawarkan memuaskan antara kriteria membuatkan beliau memilih bidang tersebut!
CUACA JADI CABARAN UTAMA
Menuai pujian kerana kehandalannya yang sama level dengan kaum lelaki, ujar Maya, risiko paling tinggi yang perlu dihadapi adalah faktor cuaca.
“Cuaca seperti hujan, angin yang kuat dan keadaan yang terlalu panas menjadi tantangan utama. Situasi begini mengundang risiko kepada kami. Kadangkala, apabila berada di belakang bangunan kita tidak nampak cuaca, sedar-sedar hujan turun. Ini memang membahayakan kami kerana apabila hujan turun pasti akan berlakunya kilat.
Pasangan ini baru bergelar ibu dan ayah selepas kelahiran cahaya mata lelaki yang diberi nama Muhammad Al fateh.
“Selain itu, mental dan fizikal juga kena kuat. Alhamdulilah, setelah beberapa kali memberikan prestasi yang baik, pelanggan berpuas hati dan rezeki saya juga semakin murah,” ujar beliau ambil melahirkan rasa syukur kerana diberi kepercayaan penuh oleh pelanggan yang mahu mendapatkan khidmatnya.
Percaya setiap usaha akan ada hasil yang boleh dibanggakan, anak kelima daripada enam beradik itu mengakui sudah mampu menarik nafas lega usai tiga tahun bergelut dalam profesion tersebut.
“Alhamdulillah, sekarang kerjaya saya lebih stabil terutama sebagai pekerja yang tidak terikat dengan mana-mana syarikat. Saya bersyukur kerana dikurniakan keluarga yang sentiasa memberi sokongan,” ujar Maya lagi.
Temui Jodoh
Perumpamaan ikan di laut, asam di darat, dalam kuali bertemu jua cukup sesuai menggambarkan situasi Maya yang turut dipertemukan jodoh dengan lelaki yang bekerja dalam bidang yang sama.
“Awalnya saya dan suami, Abdul Hazim Abdul Rashid adalah satu pasukan. Siapa sangka jodoh kami kuat. Alhamdulillah, selain keluarga, saya juga ada suami yang menjadi penyokong. Malah, kami saling menyokong antara satu sama lain.