Sedih TakTerhingga, 3 Anak Pergi Dalam Satu Masa “Kini Jenazah Mereka Dikebumikan Dalam Satu tiang Lahad”
Jenazah tiga beradik rentung dikebumi dalam satu liang lahad
LAWAS: Jenazah tiga beradik yang rentung dalam kejadian kebakaran rumah di Kampung Seberang Kedai di sini lewat malam tadi, selamat disemadikan di dalam satu liang lahad, hari ini.
Kanak-kanak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Salam, di sini, selepas prosedur bedah siasat selesai dijalankan di Klinik Kesihatan Trusan.
Terdahulu jenazah Mohd Hesdi Huzaidi Azrie, 4, dan dua abangnya, Mohd Hezmi, 7, dan Mohd Hezry Huzaimi, 8, disolatkan di Masjid Besar Darul Ma’amur pada jam 2.15 petang.
Dalam kejadian tragis malam tadi, kesemua mangsa dipercayai sedang tidur ketika kebakaran tercetus dan mula merebak di kediaman keluarga tersebut.
Enam anggota keluarga lebih dewasa termasuk kedua-dua ibu bapa serta kakak dan abang mangsa terselamat.
Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, mayat ketiga-tiga mangsa ditemui ketika proses pemeriksaan dijalankan di tingkat bawah kediaman yang musnah 100 peratus itu.
“Mereka dipercayai jatuh bersama-sama lantai bawah yang runtuh,” katanya.
Mengenai kejadian itu, kata Ling Hii, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 11.02 malam.
“Jarak antara Balai Bomba dan Penyelamat Lawas dan lokasi sebenarnya tidak jauh, kerana ia terletak di seberang sungai.
“Namun kita terpaksa berpusing menggunakan laluan darat iaitu sejauh 17 kilometer dan ini memakan masa,” tambahnya lagi.
Begitupun, katanya tindakan pantas pihaknya berjaya menyelamatkan rumah-rumah yang berhampiran daripada turut musnah.